Bagi individu yang telah berjaya menamatkan persekolahan, secara automatik ia bergelar alumni bagi sesebuah sekolah. Sentimen alumni bagi sesebuah sekolah begitu kuat sekali walau di mana jua berada. Ini kerana, ke mana sahaja pergi, ibarat sudah tertulis dalam suratan bahawa, saya ini merupakan bekas pelajar sekolah tersebut. Apa pun, sumbangan kepada jasa dan bakti yang telah dicurahkan oleh guru perlu juga dilaksanakan. Walaupun sudah bergelar alumni sekolah, seharusnya sesekali hadir ke sekolah bagi melihat perkembangan pelajar di sekolah. Di samping menyumbang sesuatu di sekolah seperti mengadakan kem motivasi, kem kepimpinan pelajar sekolah, alumni juga menjadi medium bagi sekolah untuk meningkatkan lagi pembinaan sahsiah pelajar. Hal ini adalah kerana, alumni merupakan produk-produk keluaran sekolah yang menjadi contoh ikutan kepada pelajar.
Bayangkan, apabila seorang bekas pelajar, merupakan seorang peguam disalah sebuah syarikat guaman, diberikan ruang oleh pihak sekolah bagi bercakap di hadapan pelajar sekolah, memberikan nasihat dan juga motivasi pelajar, sudah tentu ia sedikit sebanyak memberikan inspirasi kepada pelajar untuk menjadi insan yang lebih hebat lagi. Tambahan pula, guru-guru yang pernah mengajarnya pasti berasa bangga terhadap pencapaian bekas pelajar ketika dulu sudah menjadi insan yang hebat.
Apa jua sumbangan boleh sahaja diberikan oleh alumni kepada pihak sekolah. Alangkah terharunya warga sekolah apabila alumni hadir ke sekolah bagi menyumbangkan penghawa dingin di setiap bilik guru dan surau. Walaupun ia bersifat material, namun, ia sedikit sebanyak dapat memberikan keselesaan kepada semua warga sekolah. Manfaatnya telah dikongsi bersama, dan juga menjadi tanda ingatan ikhlas dari semua warga alumni sekolah.
Alumni juga mampu untuk membantu sekolah meningkatkan pembangunan sahsiah pelajar. Sentuhan bekas pelajar dari hati ke hati, memberikan suatu tonik baru kepada pelajar bagi menjadi insan yang berguna. Pembangunan sahsiah pelajar diperingkat sekolah dilihat tempat jika mengenepikan peranan alumni. Ini kerana, pengalaman baru selepas bergraduat mampu memberikan sesuatu kepada pelajar sekaligus menjadi role model untuk berjaya.
Makin kerap alumni datang ke sekolah, makin mampan lagi prestasi sekolah dalam setiap aspek. Justeru, walaupun sudah bergelar alumni, sayangilah sekolah anda. Berikanlah apa jua bentuk sumbangan kepada sekolah. Disamping membantu sekolah, sambil-menyambil juga menjana amal jariah bagi membawa bekalan untuk bertemu dengan Yang Maha Esa di hari akhirat kelak.