Gandingan Mantap Pastikan Kemenjadian Pelajar

Warga pendidik di sekolah sentiasa mengimpikan kemenjadian pelajar yang telah dididik olehnya. Namun begitu, kemenjadian pelajar tidak mampu terhasil apabila pendidik hanya bertugas dari pukul 7.30 pagi hingga 5.00 petang sahaja. Tetapi, ia menuntut pengorbanan setiap pendidik bagi memastikan perkembangan pelajar di sekolah berjalan mengikut acuan seperti yang dirancangkan pihak sekolah. Jika sekali imbas, penat lelah seorang guru apabila berkerja lebih masa tidak mampu dibayar oleh sesiapa pun. Namun, itulah dia yang dikatakan pengorbanan seorang guru bagi memastikan pelajar-pelajarnya sentiasa berjaya di dunia dan di akhirat kelak.

Keberkesanan tidak akan dicapai tanpa ada perancangan serta gandingan yang mantap dikalangan guru. Seharusnya, perbincangan meja bulat antara dikalangan guru bagi membincangkan agenda pemantapan sahsiah pelajar harus diutamakan dari perkara lain.

Perkongsian maklumat antara Penolong Kanan HEM, guru pendidikan Islam, warden asrama, guru kaunseling, guru disiplin adalah medan yang sangat bijak dan tepat. Ini kerana, maklumat perkembangan pelajar mudah didapati, terkini dan bersifat semasa. Perkongsian yang bijak ini memudahkan gandingan guru ini untuk merancang agenda pemantapan sahsiah pelajar. Sokongan dari pelbagai sudut maklumat pelajar yang diperolehi dapat membantu pihak sekolah bagi merancangkan sesuatu program atau aktiviti yang benar-benar menepati sasaran. Di samping itu, hubungan yang harmonis serta kerjasama yang terjalin dapat memudahkan lagi bebanan kerja yang dihadapi.

Memang diakui, pemantauan setiap perkembangan pelajar adalah penting atas setiap perancangan yang dilaksanakan. Baik dari sudut akademik, sahsiah dan kerohanian, aktiviti harian pelajar, disiplin. Namun, gandingan guru yang terlibat secara langsung (Penolong Kanan HEM, guru pendidikan Islam, warden asrama, guru kaunseling, guru disiplin) serta guru mata pelajaran lain dalam memantau perkembangan pelajar dapat menyumbang ke arah memastikan kemenjadian murid tersebut.

Pabila difikir sejenak, sukar rasanya bagi melakukan tugas tersebut. Apatah ini bagi guru yang banyak komitmen dengan keluarga, anak-anak yang masih kecil, tanggung jawab sebagai pemimpin keluarga dan juga masyarakat sekeliling. Namun, gandingan mantap yang disusun secara terancang sedikit sebanyak dapat membantu warga pendidik sekalian bagi berhadapan dengannya.

Berbetulanlah dengan firman Allah swt:

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.” (At-Taubah: 111)

Sesungguhnya, pengorbanan seorang guru tiada nilainya. Malah tidak mampu dibayar dengan wang ringgit. Sebagai pendidik, menjadi guru bukan hanya untuk mendapatkan gaji semata-mata. Tetapi, keberkatan dalam mendidik pelajar bagi mencapai redha Illahi itulah yang lebih utama dari segalanya. Kemenjadian pelajar terhasil apabila usaha yang kita lakukan mendapat keberkatan dari Allah.

Posted in Pandangan Peribadi | Leave a comment

Alumni perlu kembali bantu sekolah

Bagi individu yang telah berjaya menamatkan persekolahan, secara automatik ia bergelar alumni bagi sesebuah sekolah. Sentimen alumni bagi sesebuah sekolah begitu kuat sekali walau di mana jua berada. Ini kerana, ke mana sahaja pergi, ibarat sudah tertulis dalam suratan bahawa, saya ini merupakan bekas pelajar sekolah tersebut. Apa pun, sumbangan kepada jasa dan bakti yang telah dicurahkan oleh guru perlu juga dilaksanakan. Walaupun sudah bergelar alumni sekolah, seharusnya sesekali hadir ke sekolah bagi melihat perkembangan pelajar di sekolah. Di samping menyumbang sesuatu di sekolah seperti mengadakan kem motivasi, kem kepimpinan pelajar sekolah, alumni juga menjadi medium bagi sekolah untuk meningkatkan lagi pembinaan sahsiah pelajar. Hal ini adalah kerana, alumni merupakan produk-produk keluaran sekolah yang menjadi contoh ikutan kepada pelajar.

Bayangkan, apabila seorang bekas pelajar, merupakan seorang peguam disalah sebuah syarikat guaman, diberikan ruang oleh pihak sekolah bagi bercakap di hadapan pelajar sekolah, memberikan nasihat dan juga motivasi pelajar, sudah tentu ia sedikit sebanyak memberikan inspirasi kepada pelajar untuk menjadi insan yang lebih hebat lagi. Tambahan pula, guru-guru yang pernah mengajarnya pasti berasa bangga terhadap pencapaian bekas pelajar ketika dulu sudah menjadi insan yang hebat.

Apa jua sumbangan boleh sahaja diberikan oleh alumni kepada pihak sekolah. Alangkah terharunya warga sekolah apabila alumni hadir ke sekolah bagi menyumbangkan penghawa dingin di setiap bilik guru dan surau.   Walaupun ia bersifat material, namun, ia sedikit sebanyak dapat memberikan keselesaan kepada semua warga sekolah. Manfaatnya telah dikongsi bersama, dan juga menjadi tanda ingatan ikhlas dari semua warga alumni sekolah.

Alumni juga mampu untuk membantu sekolah meningkatkan pembangunan sahsiah pelajar. Sentuhan bekas pelajar dari hati ke hati, memberikan suatu tonik baru kepada pelajar bagi menjadi insan yang berguna. Pembangunan sahsiah pelajar diperingkat sekolah dilihat tempat jika mengenepikan peranan alumni. Ini kerana, pengalaman baru selepas bergraduat mampu memberikan sesuatu kepada pelajar sekaligus menjadi role model untuk berjaya.

Makin kerap alumni datang ke sekolah, makin mampan lagi prestasi sekolah dalam setiap aspek. Justeru, walaupun sudah bergelar alumni, sayangilah sekolah anda. Berikanlah apa jua bentuk sumbangan kepada sekolah. Disamping membantu sekolah, sambil-menyambil juga menjana amal jariah bagi membawa bekalan untuk bertemu dengan Yang Maha Esa di hari akhirat kelak.

Posted in Cetusan Pendapat | Leave a comment

Guru sebagai seorang negotiator

Perkataan NEGOTIATE membawa maksud runding, berunding atau merundingkan. Apabila penulis merujuk dalam Kamus Dewan bagi mencari makna berkataan runding, ia menampil dua maksud. Pertama ia merujuk kepada  perhitungan, perkiraan, pertimbangan. Keduanya ialah pembicaraan (perkiraan) yg sungguh-sungguh lagi mendalam tentang sesuatu hal. Ada juga yang mentakrifkan sebagai cara khidmat atau pemberian bimbingan dan nasihat menerusi perbincangan masalah dan cara-cara mengatasinya; merentang ~ memanjang-manjangkan percakapan (perbualan, pembicaraan). Merujuk kepada perkataan NEGOTIATOR, penulis dapat memahami bahawa perkataan NEGOTIATOR ini membawa maksud iaitu pelaku, watak, atau orang melakukan perundingan bagi menyelasaikan sesuatu perkara.

Setelah diamati, penulis berpendapat bahawa, kerja sebagai seorang NEGOTIATOR ini mempunyai persamaan dari sudut konsepnya dengan kerjaya sebagai seorang guru. Hal ini adalah kerana, tugas untuk berunding, membuat perhitungan, perkiraan dan pertimbangan tidak lari dalam kamus hidup sebagai seorang guru. Seorang NEGOTIATOR yang baik perlu melakukan kerja-kerja rundingan bagi membuat perkiraan, bacaan, dan pertimbangan yang baik bagi membuat keputusan yang tepat. Ini merupakan elemen yang sangat penting dalam mana-mana struktur organisasi bagi mencapai target yang ditetapkan dengan tujuan untuk mendapatkan impak serta produktiviti yang kompetatif.

Proses bagi menseimbangkan serta memantapkan kompetensi yang ada dalam sesuatu struktur yang ada menuntut adanya individu yang mampu memiliki kemahiran untuk menjadi NEGOTIATOR yang baik. Sama ada tugas sebagai perunding insurans mahupun sebagai seorang guru, kemahiran serta skill dalam dilihat sebagai suatu keperluan bagi melahirkan lapisan masyarakat yang harmonis. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa,

          “ Terlajak perahu, boleh diundur. Terlajak kata, badan binasa.”

Memang mudah untuk mengatakan sesuatu tetapi ia tidaklah semudah yang disangka bagi mencapai matlamat yang dikehendaki. Sebagai contoh, seorang guru berbincang dengan pentadbir sekolah untuk melaksanakan program bagi meningkat prestasi pelajar. Namun, cadangan serta draf yang dibawa tidak diterima oleh pihak pentadbir sekolah kerana hasrat yang dirancangkan itu tidak begitu concrete dan tidak dapat meyakinkan pihak pentadbir sekolah untuk melaksanakannya. Rundingan yang dibuat gagal mencapai persetujuan kerana terdapat beberapa kelemahan dalam membuat perkiraan, perhitungan dan pertimbangan bagi mencapai keputusan. Selain daripada itu, komunikasi yang kurang baik antara dua pihak, perbezaan serta pertikaian pendapat yang tidak harmonis menyebabkan kegagalan dalam mencapai sesuatu rundingan yang diadakan.

          Justeru, ilmu serta kemahiran untuk mengadakan rundingan ini dilihat sangat penting bagi penulis. Apabila menjangkau ke hadapan dalam membuat sesuatu perancangan, persetujuan yang dicapai serta kepercayaan yang diberikan melalui rundingan yang dibuat sangat penting bagi memastikan survival seorang guru di sekolah terus maju ke hadapan.

Posted in Cetusan Pendapat | Leave a comment

Offer diri untuk jadi warden di sekolah? Part 2

Memang diakui bahawa, tugas sebagai seorang warden memang mencabar. Pengorbanan yang sesungguhnya bagi seorang warden sangat-sangat dituntut bagi melaksanakan amanah yang diberikan. Penulis teringat pada firman Allah Taala dalam surah at Taubah, ayat 111:

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada Yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga Yang demikian ialah) sebagai janji Yang benar Yang ditetapkan oleh Allah di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi Yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah Dengan jualan Yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan Yang besar.

Dalam ayat al Quran diatas, meseg jelas menunjukkan bahawa dalam konteks sebagai seorang guru mahupun seorang warden, pengorbanan sangat ditagih dalam menjalankan amanah yang telah diberikan. Pengorbanan harta, jiwa, wang ringgit, masa dan sebagainya adalah satu sunnah yang perlu dilalui oleh seorang warden atau guru. Ini kerana, bukan senang untuk melahirkan serta memastikan kemenjadian seorang anak murid. Ia memerlukan proses yag cukup panjang dan berterusan. Tanpa ada pengorbanan, kemenjadian murid tidak akan terhasil begitu sahaja.

Pemerhatian pelajar yang berterusan sangat diperlukan supaya perkembangan pelajar dapat dipantau dengan baik. Tindakan pantas, bijak, segera dan efektif yang berterusan perlu diutamakan bagi memastikan budaya negative dikalangan pelajar tidak menular dengan cepat terutamanya bagi pelajar yang tinggal di asrama.

Justeru, walaupun terpaksa berhadapan dengan nature hidup seorang warden yang sangat berbeza dengan guru akademik yang lain, tugas sebagai seorang warden sangatlah mulia di sisi agama. Tidak semua yang mampu melaksanakannya dengan baik namun tugas mulia bagi menjadikan anak murid di sekolah ini menjadi insan yang baik serta berguna pada agama akan datang adalah satu tugas yang sangat MULIA bagi penulis. Tiada yang lebih gembira dalam hidup seorang warden melainkan melihat anak-anak didiknya menjadi manusia yang berguna untuk berbakti pada agama kelak.  Jika tiada warden, siapa lagi yang hendak di harapkan untuk melaksanakan agenda ingin memanusiakan manusia yang ada disekolah kelak.

Posted in Cetusan Pendapat | Leave a comment

Offer diri untuk jadi warden di sekolah? Part 1

Menawarkan diri untuk menjadi warden di sekolah merupakan suatu perkara baru yang amat jarang sekali dilakukan ataupun suatu  igauan maut bagi bakal-bakal guru yang akan di “postingkan” tidak lama lagi. Tanggapan mahupun persepsi negatif yang sudah terbina dalam diri menyebabkan bakal guru tidak yakin untuk menyahut cabaran pertama dalam mengharungi dunia pendidikan di sekolah.

Perkara yang selalu digembar-gemburkan apabila menjawat jawatan warden di sekolah ialah tugas seorang warden yang terlalu banyak. Masa untuk diri dan keluarga pula lebih sedikit berbanding dengan masa warden di sekolah. Ini kerana, pemantauan, pemerhatian dan rondaan perlu dibuat bagi melihat perkembangan semasa pelajar di sekolah.  Tugas harian warden juga sangat teruk dan meletihkan hinggakan tidak cukup tangan untuk mengendalikannya. Kadang-kadang, hendak membuat “lesson plan” pun tidak berkesempatan kerana amanah kerja yang bertimbun-timbun yang dipikul para warden.

Jika ada pelajar asrama yang sakit atau berlaku kes-kes kecemasan di asrama, wardenlah orang pertama yang akan dicari untuk menyelesaikannya. Bukan sekadar itu sahaja, makan, minum, tempat tinggal pelajar, prasarana pelajar di asrama turut juga menjadi tanggungjawab yang perlu diperhatikan oleh warden. Lebih memeritkan lagi, ada juga segelintir ibu bapa yang beranggapan bahawa warden tidak menjalankan tugas dengan baik.

Kata mereka, “Apa para warden buat di asrama? Hanya makan gaji dan kutip elaun warden sahaja kah para warden ini?

Tidak hairanlah, terkadang para warden hilang fokus dalam menjalankan tugas sebagai pendidik di sekolah. Tekanan yang dihadapi oleh para warden dari pelbagai sudut menyebabkan mereka hilang focus, tenaga untuk berfikir, membuat sesuatu perubahan yang lebih baik, motivasi serta mood   para warden menurun.

Mengenangkan beberapa gambaran mengenai cabaran bagi seorang warden di sekolah ini, masih adakah bakal guru mahupun guru sedia ada di sekolah yang ingin menawarkan diri mereka untuk menjadi warden? Atau menggantikan warden-warden yang telah senior bagi menerajui kepimpinan warden di sekolah?

Posted in Cetusan Pendapat | 3 Comments

Bakal Guru Hilang Idea dan Identiti?

Menjelang September akan datang, bakal-bakal guru yang menuntut di institut pengajian tinggi akan di ‘posting’ kan ke tempat yang telah ditetapkan mengikut bidang masing-masing. Riak wajah kegembiraan tidak dapat disembunyikan oleh bakal-bakal guru yang sangat menanti-nanti tika dan waktu untuk mula menabur bakti dan jasa kepada anak bangsa.

Namun, jika dilihat dari sudut pandang yang berbeza, terdapat juga tabiat-tabiat yang tidak sewajarnya dimiliki oleh bakal-bakal guru ini. Maaf cakap bahawa, ada juga bakal guru yang tidak mencerminkan diri sebagai seorang pendidik. Personaliti yang ditonjolkan tidak merangsang untuk menjadi pendidik yang benar-benar berwibawa untuk membawa harapan baru di sekolah.

Ada juga yang serba tidak tahu perkembangan terkini pelajar di sekolah. Sekadar memandang sebelah mata sahaja dan pandai bermain dengan persepsi tanpa pemerhatian yang sewajarnya terhadap perubahan semasa perkembangan pelajar ketika ini yang cukup kritikal dan membimbangkan. 

Seharusnya, usaha untuk memantap diri sebagai seorang bakal guru kelak perlu dimulakan diperingkat awal lagi. Ia perlu di isi dengan memantapkan kemahiran-kemahiran insaniah yang tidak dipelajari di dalam bilik kuliah. Keterlibatan aktif bakal guru dalam persatuan memberikan banyak pendedahan bagi memantapkan lagi personality, mematangkan idea serta menaikkan ke’izzahan’ seorang guru di sekolah kelak. Ruang yang ada perlu dimaksimumkan bagi memadatkan diri dengan 1001 pengalaman. Pengalaman mengurus, mengalami proses, merancang, mengendalikan program, membina jaringan hubungan @ personal contact dengan semua orang, berunding dengan pihak atasan dan banyak lagi merupakan sesuatu perkara yang cukup tinggi nilainya.

Kata orang, “alah bias, tegal biasa”. Justeru, bagi masa yang ada ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi melengkapkan diri sebagai seorang guru. Bukan satu kerugian mahupun satu kesilapan besar jika usaha untuk memantap diri bermula dari awal lagi. Kata orang, “ Sudah terhantuk, baru nak terngadah”.

Posted in Muhasabah Diri | Leave a comment

Adakah unit bimbingan dan kaunseling masih lagi releven di sekolah pada hari ini? …. Part 4

Alhamdulillah, penulis menerima pelbagai respon mengenai isu ini. Namun, penulis mendapati, pelajar sekolah hari ini sudah runtuh akhlaknya. Ini perkara yang cukup membimbangkan ibu bapa terhadap pendidikan yang diterima anak-anak di sekolah. Satu pemerhatian yang telah dibuat oleh penulis di sebuah sekolah menengah di Hulu Selangor mendapati, daripada 130 orang pelajar, tidak sampai 20 orang yang melakukan ibadah solat 5 waktu sehari semalam. Perkara ini cukup membimbangkan bagi penulis. Ini kerana, pada 5 tahun akan datang, mereka akan keluar dari sekolah dan mengharungi kehidupan di luar sekolah yang cukup kritikal ketika ini. Mungkinkah masa depan mereka akan menjadi gelap kerana tidak menerima proses pembinaan sahsiah diri pelajar di peringkat sekolah lagi? Di mana peranan UBK? Adakah mampu UBK untuk bergerak sendirian untuk berhadapan dengan masalah ini? 

Penulis berpandangan, UBK perlu bergabung tenaga bersama guru Pendidikan Islam dan Moral bagi berhadapan dengan permasalahan pelajar di sekolah ketika ini. Sangat tidak releven bagi 2 orang kaunselor yang ditempatkan di sekolah ditugaskan untuk menyelesaikan masalah emosi, karakter dan sahsiah diri pelajar bagi 600 orang pelajar di sesebuah sekolah. Kaunselor, guru pendidikan Islam serta Moral perlu duduk semeja bagi memperhalusi setiap perancangan untuk membangunkan sahsiah pelajar di sekolah. Sangat tidak bijak menulis rasakan jika tidak bergabung jalin dengan baik bagi merencanakan sesuatu program di sekolah. Ini kerana, matlamatnya adalah sama iaitu ingin memanusiakan pelajar di sekolah. Idea serta buah fikiran berdasarkan kepakaran dalam bidang masing-masing perlu diasimilasikan supaya dapat menghasilkan natijah yang baik terhadap anak murid di sekolah.

Posted in Isu Semasa | 2 Comments

Pisahkan agenda politik luar di sekolah?

Politik memang tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan. Ia juga tidak boleh dipisahkan dengan agama dengan tindakan seharian kita. Dalam dunia pendidikan juga, elemen serta unsur-unsur politik juga tidak dapat lari dari perkara sebegini. Sejarah politik tanah air telah membuktikan bahawa ahli politik negara terdahulu lahir dari golongan pendidik. Ini kerana, mereka begitu cakna dengan masalah semasa masyarakat terutama dalam bidang pendidikan demi memastikan negara terus membangun bersama Islam.

Jika diimbau kembali sejarah lampau, tokoh-tokoh seperti Sheikh Abdullah Fahim, Us Abu Bakar Baqir, Sheikh Tahir Jalaluddin pada asalnya adalah seorang guru. Mereka membina generasi masa hadapan dengan menjadikan pendidikan sebagai medium dan kilang untuk menghasilkan produk-produk berbentuk manusia yang luar biasa untuk menggegarkan lanskap tanah air. Agenda yang dibawa oleh mereka ini bukanlah untuk agenda kepentingan dunia semata-mata tetapi membawa agenda pembangunan nilai serta modal insan demi memastikan seluruh rakyat di negara ini mendapat kebajikan dan ramhat .

Hari ini, agenda politik yang tiada nilainya telah meresap masuk dalam dunia pendidikan secara meluas khususnya di sekolah. Apabila ahli politik tidak menghormati ahli akademik, maka ia akan memberi kesan tidak baik serta impak jangka panjang kepada generasi akan datang. Agenda politik yang tidak memberi apa-apa nilai untuk membangunkan modal insan diperingkat pengajian sama ada di persekolahan mahupun institute pengajian tinggi menyebabkan generasi muda hari ini menjadi mandul, berminda primitif, masih ditakuk lama serta mandom. Daya intelektual generasi millennium kini semakin hari semakin tumpul. Ini kerana, exam oriented itu lebih penting daripada menterjemahkan ilmu yang dipelajari kepada masyarakat dalam bentuk yang lebih praktikal. Kewibawaan generasi muda hari ini seolah-olah sudah hilang taringnya kerana telah dicabuli oleh kuasa-kuasa yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan langsung natijahnya di masa hadapan terutama generasi pelapis kepimpinan negara akan datang.

Semuanya ini bermula dari bangku persekolahan lagi. Jika penerapan, perencanaan serta pelaksanaan unsur untuk membangunkan generasi muda telah bermula diperingkat sekolah rendah lagi, maka tidak mungkin berlaku ketirisan generasi kepimpinan diperingkat kampus kelak.

Melihatkan perkara sebegini, penulis merasakan, amat perlu agenda politik ini dipisahkan dari agenda pendidikan. Hal ini adalah kerana, golongan pendidik anak bangsa inilah yang terpaksa menanggung kesilapan serta mangsa keadaan yang telah dilakukan atau diputuskan diperingkat kepimpinan negara. Tidak dinafikan, masing-masing mempunyai pandangan, pemikiran serta pegangan masing-masing. Justeru, perbezaan pandangan sebegini perlu kita semua ketepikan seketika supaya guru dapat memberikan tumpuan yang lebih terhadap anak murid. Bukan mudah sebenarnya untuk memastikan kemenjadian seseorang anak murid tersebut apabila tamat pengajian tetapi itulah yang perlu dilakukan oleh setiap pendidik. Pastinya tumpuan golongan ini tidak boleh diganggu kerana ia akan menjejaskan core business utama mereka dalam di sekolah.

Kalau kita ingin melihat bagaimana generasi kepimpianan negara akan datang, maka lihat, nilai dan ukurlah generasi muda pada hari ini… Adakah benar generasi pelapis muda kepimpinan negara dalam masyarakat sekarang akan datang akan jadi begitu?  Justeru, semuanya bermula dari pendidikan. Jika salah kita ,mendidik, merancang, mengurus dan mengatur anak murid disekolah, maka tidak mustahil bagi penulis generasi kepimpinan negara akan turut jadi mandul… Maka, pisahkanlah agenda politik luar disekolah demi kepentingan mahasiswa pendidik hari ini….

Posted in Isu Semasa | Leave a comment

Betul ke matlamat menghalalkan cara..? 2

Sebenarnya, penulis sangat terkilan dengan pelakon-pelakon yang membintangi drama Nur Kasih tersebut. Pada hemat awal penulis terhadap cerita ini, pelakon-pelakon yang membintanginya mempunyai profil serta latar belakang diri yang baik. Ini kerana, watak lakonan yang dibawa oleh setiap pelakon member gambaran kepada penulis bahawa, individu yang melakonkan drama ini adalah individu yang BERSIH…

Namun , apakan daya, apabila penulis melihat gambar pelakon terbabit di dalam akbar Metro Ahad bertarikh 4 April 2010, mesej-mesej serta nilai dalam drama Nur Kasih yang pernah ditonton sebelum ini telah TERPADAM dek melihat gambar pelakon drama tersebut di akhbar. Adakah patut watak wanita solehah, berpakaian sopan, sedap mata memandang yang dimainkan di dalam drama ini telah diterjemahkan di dalam kehidupan diluar lakonan dengan wajah yang berbeza? Berpakaian seksi, membuka aurat, berpakaian ketat, malah mendedahkan lurah di dada? Sukar bagi penulis untuk menerima kenyataan hakikat sebenar kisah SUPERSTAR diluar lakonan.

Mungkin usaha yang dilaksanakan masih belum cukup lagi untuk melakukan perubahan TETAPI ia tidak mustahil berlaku? Ke arah menjadi insan yang baik serta bahagia di dunia dan di akhirat… ataupun  belum lagi menerima HIDAYAH dari Allah untuk melakukan perubahan.

BAHASA ALLAH itu amat pelbagai dan kita sendiri tidak mampu untuk menjangkauinya melainkan kita mengetahui hikmah serta ‘ibrah disebalik kejadiannya. Kita berdoa pada Allah supaya dilorong kepadanya ke jalan yang benar dan kembali ke pangku jalan untuk mendapatkan keredhaan serta keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.

Ternyata, walaupun matlamat serta niat dihati adaah baik, namun tidak semestinya cara yang ingin dipilih menghalalkan matlamat yang ingin dicapai. Walau sehebat mana sekalipun,pabila ia bersalahan dengan kehendak Ilahi, maka terzahirlah kebatilan serta kefasiqan manusia di bumi Allah ini. Kita alpa dengan kenikmatan, kesenangan yang Allah berikan TETAPI kita tidak memanfaatkannya ke jalan yang lebih baik untuk mendapat redhanya. Maka, janganlah kita campurkan perkara yang hak dengan perkara yang batil. Apabila ia bercampur, maka zahirlah kebatilannya disebaliknya sedikit demi sedikit walaupun ia berjaya ditutupi dengan kebaikan. Betullah kata orang,

“Matlamat Tidak Menghalalkan Cara…”

Posted in Muhasabah Diri | Leave a comment

Betul ke matlamat menghalalkan cara..? 1

Pabila kita dikala subuh hari, kita bangun menghadap tuhan yang Maha Esa, maha Pencipta lagi maha berkehendak. Dalam doa Iftitah yang sering kita baca di awal permulaan sembahyang, selepas sahaja takbiratul ihram, kita berjanji bahawa hidupku, matiku adalah kerana Allah Ta’ala. Terasa gerun di hati apabila memahami makna setiap zikir yang diucapkan didalam sembahyang. Ternyata, kita mempunyai matlamat  yang ingin dicapai ketika kita menghadapIlahi sebanyak 5 kali sehari yang wajib dilaksanakan sehari-harian.

Namun begitu, dalam konteks kehidupan seharian, setiap tindakan yang kita lakukan pasti ada sesuatu target yang ingin dicapai. Pendek kata, setiap matlamat yang dibina, pasti ada cara untuk melaksanakannya. Benarkah matlamat menghalalkan cara? Walaupun niat di hati memang bertujuan untuk menyebarkan dakwah, meluaskan metod penyampaian mesej kepada masyarakat bagi memahami Islam?

Penulis sebenarnya setuju dengan drama bersiri Nur Kasih yang telah disiarkan dikaca tv sebelum ini. Malah, drama tersebut mencatatkan jumlah penonton yang sangat tinggi di seluruh negara. Lakon layarnya cukup menarik dan picis apabila ditonton dan dihayati. Pelakon-pelakonnya yang cukup hebat seperti Tiz Zaqiyah, Fiz Fairuz, Remy Ishak, Ummi Nazeera Datuk Jalaluddin Hassan dan ramai membuatkan berjaya mencipta aura baru dalam lakonan drama bersiri tersebut hinggakan ada yang sanggup memuat turun drama tersebut untuk dijadikan koleksi peribadi secara percuma.

Tapi, apa kesusahannya terhadap masyarakat yang menonton drama ini? Berjayakan matlamat serta mesej yang tersirat di dalamnya dapat dicapai?

Posted in Muhasabah Diri | Leave a comment