Kaunseling=Program Iklim Dini di Sekolah Part 2

Pendekatan kaunseling di sekolah pada hari ini perlu diberikan nafas baru yang lebih menepati kehendak semasa pelajar disekolah. Kalau kita semua lihat dan perhatikan isu-isu pelajar disekolah pada hari ini, ia cukup membimbangkan. Sekiranya ia tidak dikawal, maka ia akan terus merebak seterusnya menjadikan masyarakat hari ini terus sakit dan tenat dengan pelbagai masalah sosial.

Penulis merasakan bahawa, program-program kaunseling yang dirancang pada hari ini perlu mensasarkan objektif untuk menerapkan konsep iklim dini di sekolah. Jika kita lihat hari ini, terdapat kes-kes seperti pelajar tidak lagi menghormati guru, pelajar mengutuk, mencaci, mengancamkan keselamatan guru, pelajar mengugut guru dan bermacam-macam lagi. Mungkinkah kes seperti ini berpunca dari pentadbiran sekolah @ unit bimbingan kaunseling yang hanya mengutamakan usaha meningkatkan prestasi akademik semata-mata tanpa memandang betapa pentingnya pembangunan sahsiah pelajar perlu diutamakan?

Hari ini, bilangan pelajar yang berjaya dalam akademik terutama dalam peperiksaan besar seperti PMR, SPM dan STPM sudah semakin meningkat saban tahun. Namun, penulis berpendapat, kecemerlangan akademik (sahaja) tersebut tidak mampu mengatasi permasalahan sahsiah pelajar hari ini. Sepatutnya, jika pelajar tersebut cemerlang dalam akademik, maka pelajar tersebut semestinya cemerlang dalam bidang sahsiah. Hal ini bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menerapkan konsep JERI untuk menyeimbangkan potensi individu dalam pendidikan.

Justeru, penulis melihat, orientasi serta pendekatan unit bimbingan dan kaunseling, pentadbiran sekolah perlu memandang ke hadapan supaya pelajar hari ini seimbang dalam segala aspek rohani, jasmani dan intelektual serta bertepatan dengan kehendak semasa generasi muda hari ini. Apa yang boleh disyorkan oleh penulis, usaha untuk membina suasana @ iklim dini di sekolah perlu dirancang melalui perancangan yang strategik demi memastikan generasi pada masa hadapan boleh menjadi lebih baik dari generasi-generasi muda yang sebelumnya.

Advertisements
Posted in Pandangan Peribadi | Leave a comment

Kaunseling = Program Iklim Dini di Sekolah

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pembaca yang memberikan komentar yang bagus terhadap artikel yang telah saya poskan sebelum ini. Moga pandangan dari pada pembaca sekalian dapat memberi suntikan baru pada generasi pendidik hari ini.

Menjurus kepada isu yang telah saya lontarkan sebelum ini, saya bersetuju dengan pandangan dari sahabat_bundle mengenai punca masalah pelajar Muslim di sekolah hari ini berpunca dari pelajar yang tidak  menunaikan solat.   Umumnya, kita semua mengetahui bahawa solat tersebut ialah tiang agama, dan dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Memandangkan ia suatu masalah yang saya kira sangat kritikal sekarang ini, pendidik hari ini perlu memandang ke hadapan untuk berhadapan dengan masalah ini supaya ia tidak merebak dan menjejaskan masyarakat kini.

Kalau pihak sekolah tidak merancang untuk mengimarahkan surau-surau di sekolah, nescaya usaha untuk membina iklim dini, hendak membina sahsiah diri pelajar agak sukar untuk direalisasikan. Memang usaha tersebut agak sukar untuk dilaksanakan pada awalnya tetapi, perancangan yang yang dirancang secara tersusun mampu direalisasikan dengan mengambil kira perancangan jangka masa panjang program pemantapan sahsiah pelajar di sekolah.

Justeru, usaha murni untuk kita membina iklim dini di sekolah perlu disokong dengan baik supaya masalah pelajar disiplin di sekolah dapat dikurangkan. Guru serta bakal-bakal pendidik perlu mencari satu formula baru supaya objektif membina iklim dini di sekolah dapat dicapai dengan jayanya.

Posted in Isu Semasa | Leave a comment

Guru = Fasilitator

Guru merupakan arkitek anak bangsa untuk generasi muda pada akan dating. Tanpa tangan-tangan guru yang mencorak dan mencanai anak murid hari ini, mana mungkin lahir modal insane negara yang sangat berguna dan bernilai demi kepentingan negara, agama, bangsa dan negara.

Jika betul guru tersebut mendidik anak murid, maka menjadilah anak murid tersebut seorang insan yang baik.

Jika salah guru tersebut mendidik anak murid, maka menjadilah anak murid tersebut insan yang sebaliknya.

Namun hari ini, adakah sesuai lagi guru menggunakan pendekatan mengajar anak murid satu persatu perkara yang berkaitan dalam sesebuah bab? Mengajar bab bersuci semata-mata tanpa mengaitkan aplikasi harian dalam kehidupan? Mengadakan topik perbincangan disekitar ruang lingkup yang tertutup dan perbincangan berlaku hanya sekitar perkara yang berkaitan sahaja?

Suatu perkara yang menjadi tanda tanya bagi penulis ialah, adakah dengan kaedah pengajaran ini memandulkan tahap keintelektulan anak-anak murid masa depan sehinggakan menjadi pemangkin masyarakat zaman millennium sekarang ini menjadi bebal?  Menurut Syed Hussein Alatas dalam buku Intelektual Masyarkat Membangun, beliau menyatakan bahawa masyarakat bebal adalah masyarakat yang tidak mampu menganalisis masalah, tidak mampu menyelesaikan masalah yang berada dihadapannya, tidak mampu mempelajari apa yang diperlukan, tidak mampu mempelajari seni belajar, dan tidak mengakui kebodohannya.

Bagi meniti masa hadapan, adakah anak-anak didik ita turut serta mengalami sindrom kebebalan intelektual? Bermula hari ini, guru perlu melakukan banyak inovasi dan perubahan bagi berhadapan anak-anak yang kian meningkat tahap kecerdasan mindanya. Tidak hanya tahu untuk “punch card”  sebelum jam 7.30 am dan 5.00 pm semata-mata tetapi perlu lebih maju kehadapan bagi mendidik anak-anak murid supaya dapat berbakti pada negara. Jika kita tidak menguruskannya, maka rosaklah anak-anak bangsa, agama, akan datang..

Posted in Isu Semasa | Leave a comment

Meniti Titian 2010

Tahun 2009 bakal melabuhkan tirai hanya beberapa jam sahaja lagi. Terlalu banyak memori, suka dan duka, pahit dan duka, pahit dan manis yang penulis tempohi. Segala-galanya mempunyai 1001 hikmah yang cukup bermakna bagi penulis dalam kehidupan seharian penulis.

Amanah dan tanggungjawab yang baru diterima amatlah berat untuk dipikul. Namun, penulis amat yakin dengan firman Allah taala,

286. Allah tidak memberati seseorang melainkan apa Yang terdaya olehnya. ia mendapat pahala kebaikan Yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan Yang diusahakannya. (Mereka berdoa Dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan Kami salah jika Kami lupa atau Kami tersalah. Wahai Tuhan Kami ! janganlah Engkau bebankan kepada Kami bebanan Yang berat sebagaimana Yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada Kami apa Yang Kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah Kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum Yang kafir”.

Allah mengurniakan akal yang baik kepada kita semua untuk merancang serta mentadbir alam ini. Perancangan awal serta disiplin yang tinggi amat-amat dituntut oleh penulis kerana dengan cara inilah ia dapat mematangkan pemikiran, kepimpinan dan pengurusan penulis untuk menjadi insane yang Berjaya di dunia dan di akhirat.

Penulis ingin mengajak sahabat handai dan rakan-rakan seperjuangan untuk kita sama- untuk sama-sama berazam baru sempena tahun baru 2010 ini. Jika sebelum ini, kita alpa, lalai dan leka, tidak cakna dengan perkembangan semasa khususnya dalam bidang pendidikan, marilah sama-sama kita melakukan anjakan paradigma untuk kita menjadi contoh kepimpinan tauladan bagi generasi anak-anak kita akan datang.

Ayuh kita lakukan perubahan. Kita tinggalkan dahulu soal cintan dan cintun dengan manusia, kita lupakan perbalahan yang antara manusia yang tidak kunjung sudah selesainya, kita lupakan kelembapan mengurus organisasi persatuan pelajar yang hanya tahu retorik dalam berkata-kata semata- mata, kita lupakan propaganda-propaganda negative terhadap diri kita.

Jadikalah diri kita yang sebenarnya. Ayuh  kita merobah dunia kita.

“ When we believe, it can be achive”

Posted in Pandangan Umum | 1 Comment

Ada apa dengan MTAQ, Festival Nasyid, Ihtifal, Syarahan Islam…..?

Dari mula diperkenalkan program-program sebegini, banyak sambutan yang diterima dari sekolah-sekolah seluruh negeri. Malah, program sebegini sedikit sebanyak dapat memberi tasawwur Islam dan menanamkan budaya Islam bermula diperingkat sekolah lagi. Banyak bakat-bakat terpendam dapat dicungkil dan di asah untuk memastikan generasi muda akan dating menjadi insane yang berguna untuk agama, bangsa dan negara.

Walau bagaimanapun, program terus berjalan, hari silih berganti hari. Permasalahan sahsiah pelajar sekolah hari ini tidak menunjukkan sebarang penurunan. Malah, ada yang keliru dengan identiti mereka untuk menjadi pelajar yang berpegang teguh pada agama.  Adakah pendekatan dengan menganjurkan program-program sebegini membantu pelajar untuk membina jati diri dan sahsiah?

Apa yang menyedihkan lagi, terdapat seorang pelajar yang merupakan vokalis bagi kumpulan nasyid di salah sekolah di Negeri Sembilan. Sekolah tersebut menjadi terkenal dan dikenali kerana ia mempunyai pasukan nasyid yang hebat di peringkat negeri. Malangnya, vokalis nasyid tersebut turut memenangi pertandingan nyanyian solo bagi lagu-lagu artis tanah air seperti kategori pop rock, balada, dan irama Malaysia. Dan banyak lagi isu-isu berkaitan yang diperkatakan.

Melihatkan perkara sebegini, apakah formula-formula lain atau modul lain yang perlu di ketengahkan sebagai alternative bagi mengatasi masalah sebegini di peringkat bakal-bakal guru dan pendidik hari ini? Penulis merasakan, perlu ada pendekatan baru yang lebih proaktif bagi mencorak anak-anak generasi millennium ini.

Posted in Pandangan Peribadi | Leave a comment

“Boleh dan sanggup”

Dua elemen ini penulis merasakan, ia merupakan penting dalam kita membuat keputusan sehari-harian. Kawan kita selalu berkata boleh untuk melakukan sesuatu tugasan yang diberikan. Namun, kepelikan terasa kerana, tugasan yang diberikan tidak dapat di selesaikan seperti yang telah ditetapkan. Kalau dalam waktu program kem jati diri @ pembangunan insan, fasi akan memprovok peserta untuk menggalakkan peserta melakukan sesuatu arahan. Jadi, peserta terpaksa menyanggupi arahan yang diberikan untuk menunaikan dan melaksanakannya. Hakikatnya, arahan tersebut tidak juga dapat diikuti dengan baik dan tidak mencapai target seperti  yang dikehendaki.

Bagi penulis, apabila kita membuat sesuatu keputusan,  kita mesti pastikan yang kita boleh dan sanggup melaksanakan keputusan yang telah kita buat. Jangan hanya cakap semberono dan ceroi sahaja. Maknanya, kita berani menanggung risiko terhadap apa jua keputusan yang buat, yakin terhadap diri sendiri dan berfikiran jauh ke depan

Posted in Pandangan Peribadi | Leave a comment

Adakah unit bimbingan dan kaunseling masih lagi releven di sekolah pada hari ini?….. Part 3

Penulis mengucapkan jutaan terima kasih kepada pemberi-pemberi respon terhadap isu ini. Banyak input-input serta pandangan dari sudut pandang yang berbeza berkaitan isu ini. Pandangan dari pemikirsarjana ada juga relevennya kerana ia dapat menjana pelajar yang tidak bermasalah untuk menjadi lebih baik dan berwawasan. Ia berdasarkan konteks serta situasi yang diutarakan beliau.

Namun, fokus utama yang penulis merasakan sangat-sangat penting untuk dibincangkan bersama ialah permasalahan yang berkaitan pembentukan  sahsiah diri pelajar disekolah. Ini keran, jika pelajar di bentuk serta diacu dengan baik di sekolah, maka ia member sedikit sebanyak asas pegangan serta jati diri pelajar untuk menghadapi transisi perubahan remaja kea lam dewasa. Penulis  melihat, suasana pendidikan di sekolah pada hari ini terlalu banyak masalah khususnya yang melibatkan soal pembinaan sahsiah pelajar itu sendiri. Contohnya ialah kajian yang telah dibuat oleh  UKM di salah sebuah sekolah terhadap 100 orang pelajar perempuan. Hasil kejadian menunjukkan hanya sebilangan kecil sahaja pelajar perempuan yang masih tidak pernah melakukan hubungan seks.

Berdasarkan fakta ini, penulis merasakan cukup bimbang terhadap masa depan anak-anak bangsa akan datang. Jika masalah ini tidak ada usaha penyelesaiannya, maka untuk menjamin soal keselamatan anak-anak akan datang.

Persoalannya, adakah unit bimbingan dan kaunseling di sekolah pada hari ini mampu untuk menghadapi contoh permasalahan pelajar sebegini dengan modus operandi yang telah sedia ada digunakan? Adakah modus operandi unit bimbingan dan kaunseling pada hari ini perlu dimurnikan dan diubah suai?

Penulis merasakan inilah yang perlu dibahaskan sedalam-dalamnya bagi panduan mahasiswa pendidik pada hari ini…

Posted in Pandangan Umum | 21 Comments

Guru diberi kebenaran terlibat dalam politik: Apa sudut pandang mahasiswa pendidik hari ini?

 Pada hari terakhir Perhimpunan UMNO yang lalu, bekas Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika menyampaikan ucapan penggulungannya sebagai Naib Presiden UMNO yang baru  telah melontarkan saranan supaya pendidik terutama guru dalam Kumpulan A diberi kebenaran untuk terbabit dalam aktiviti politik serta memegang jawatan dalam parti. Logiknya adalah, kepakaran golongan itu iaitu guru dapat digembleng dan dimanfaatkan bagi memantapkan lagi pasti kerana beliau amat mengiktiraf sumbangan guru bukan sahaja dalam bidang pendidikan, malah peranan yang mereka mainkan dalam perjuangan politik tempatan sejak negara merdeka.

 Dalam konteks realiti mahasiswa pendidik hari ini, bagi penulis, saranan tersebut adalah sangat wajar kerana guru akan lebih mendekati kehidupan masyarakat setempat dari berbagai-bagai lapisan. Ini jelas menunjukkan bahawa profesion perguruan ini mempunyai medan politiknya tersendiri dan ia sangat berbeda dengan profesion yang lain. Justeru, penulis merasakan, sebagai persiapan awal mahasiswa pendidik untuk terjun ke dunia realiti masyarakat sekolah akan datang, lanskap politik mahasiswa pendidik hari ini perlu diubah supaya kepemimpinan mahasiswa pendidik dapat digilap dengan baik supaya lebih sedia, matang, serta ‘well prepare’ dan dapat melatih bakal guru untuk menyumbang ke arah pembinaan negara bangsa yang bertamadun berlandaskan lunas-lunas yang dianjurkan oleh Islam bermula seawal peringkat sekolah lagi. . 

       Jika politik mahasiswa pendidik hari ini masih tidak matang dan seperti kebudak-budakan, maka kepemimpinan bakal-bakal pendidik anak bangsa ini akan menjadi mandom. Justeru, ia tidak akan mampu mengharungi dunia pendidikan dengan lebih efektif. Tidak hairanlah bagi penulis jika trend budaya kerja pendidik hari ini hanya “punch kad pukul 7.30 pagi dan balik ke rumah pukul 2.00 petang setiap hari”. Adakah trend sebegini mampu untuk merealisasikan konsep pembelajaran sepanjang hayat untuk melahirkan modal insan yang cemerlang bagi menjana sumber aset keperluan negara?      

Pem’frame’an pemikiran mahasiswa pendidik dengan budaya hedonisme yang melampau dalam kalangan mereka secara langsung telah membunuh minda pendidik untuk menjadi arkitek masyarakat yang baik. Jika dos ubat diberikan tidak mengikut sukatan yang ditetapkan, maka ia akan memberi kesan buruk serta menjejaskan kepada tubuh badan pesakit. Siapa yang perlu dipersalahkan? Samalah juga jika disamakan dengan pendidik. Jika pelajar sekolah hari ini menghadapi masalah disiplin yang sangat teruk, siapa yang patut dipersalahkan? Sudah pasti salah satu daripada jawapannya ialah batang tubuh seorang guru. 

Justeru, mahasiswa pendidik hari ini perlu diberikan ruang yang cukup luas supaya proses pembinaan generasi pendidik yang berkepimpinan berkualiti dapat dilahirkan demi kepentingan negara kelak.

 

Posted in Isu Semasa | Leave a comment

Adakah unit bimbingan dan kaunseling masih lagi relevan di sekolah pada hari ini?… Part 2

Setelah meneliti komen-komen dari pembaca untuk isu ini, sememangnya kita tidak boleh menyalahkan kepada unit bimbingan dan kaunseling semata-mata. Ini kerana, berdasarkan dari respon pembaca, ia merupakan platform luar yang boleh digunakan untuk mendekati permasalahan pelajar di sekolah..

Bagi penulis, yang menjadikan unit bimbingan dan kaunseling itu relevan atau tidak pada hari ini terletak kepada kebijaksanaan batang tubuh diri kaunselor itu sendiri. Kaunselor bukan hanya mengadakan sesi kaunseling individu @ kelompok semata-mata tetapi persoalannya ialah  sejauh manakah seorang kaunselor itu boleh merencanakan agenda pembentukan sahsiah pelajar di sekolah yang akhirnya berjaya menghasilkan produk-produk pelajar yang berguna untuk agama, bangsa dan negara?

Inilah yang menjadi kupasan utama bagi penulis kerana setakat saban tahun, berbagai aktiviti yang dijalankan oleh seorang kaunselor melalui unit bimbingan dan kaunseling tetapi masih kurang mendatangkan impak yang berkesan kepada pelajar terutama dalam soal pembentukan sahsiah pelajar. Ini bukan suatu perkara yang mudah bagi penulis untuk merencanakannya kerana ia memerlukan sokongan daripada semua pihak tetapi, sejauh manakah kaunselor mengambil kesempatan bersama-sama guru-guru yang lain terutama guru-guru pengajian Islam atau guru yang berpengalaman untuk mencapai perkara tersebut?

Penulis lebih gemar perkara ini dibincangkan dalam konteks pelaksanaan dan keadaan realiti pelajar di sekolah hari ini kerana ia sedikit sebanyak dapat menyumbang buah fikiran yang baru kepada bakal-bakal kaunselor di sekolah nanti.

Apa yang pasti bagi penulis, untuk memastikan unit bimbingan dan kaunseling terus relevan dan diterima di sekolah hingga ke hari ini, satu metod serta pendekatan yang baru dan bersifat  semasa perlu difikirkan bersama supaya usaha membentuk sahsiah pelajar di sekolah tercapai. Ini kerana, perwatakan pelajar hari ini tidak sama seperti pelajar dahulu. Penulis merasakan, perlunya mekanisme baru dirangka bersama oleh kaunselor serta guru-guru lain terlibat merealisasikan perkara ini, tetapi apakah dia mekanisme tersebut?

Kalau dahulu, pelajar tidak berani untuk membuli, menghina, melawan kata guru tetapi hari ini, telah timbul kes pelajar membuli guru, melawan guru, menghina guru dan banyak lagi kes-kes salah laku pelajar yang masih tidak dapat dibendung lagi.

“Tepuk dada, tanyalah iman”

Posted in Pandangan Peribadi | 3 Comments

Adakah unit bimbingan dan kaunseling masih lagi relevan di sekolah pada hari ini?… Part 1

Contoh Gambar Sesi Kaunseling

Hipotesis awal dari pemerhatian serta pengamatan penulis mengatakan bahawa, unit bimbingan dan kaunseling masih belum mampu untuk membina sahsiah pelajar yang semakin teruk pada hari ini. Penulis melihat ia hanya mampu melorongkan pelajar untuk membina kerjaya masa depan pelajar tetapi tidak dalam soal pembentukan sahsiah.  Kita boleh lihat, bagaimana teruknya sahsiah pelajar di sekolah baik di bandar atau pun di luar bandar. Justeru, adakah kaunseling berperanan dalam soal pembentukan sahsiah pelajar?

Penulis tidak berniat untuk memandang rendah apa yang telah pihak kaunseling laksanakan di sekolah. Itu merupakan salah satu usaha murni untuk memastikan keberlangsungan modal insan negara bagi menjamin sumber manusia negara kita hari ini stabil. Malah dapat membantu menjana pelbagai aspek pentadbiran negara di masa kelak. 

Sebagai contoh seperti dalam bidang kedoktoran, pembinaan infrastruktur, pengurusan pentadbiran, akauntan, perundangan dan banyak lagi. Tetapi persoalannya ialah berapa ramai produk-produk kelahiran daripada hasil lorongan ini bersahsiah tinggi, berperibadi mulia, yang dapat menjadi agen perubahan dalam kehidupan masyrakat hari ini supaya menjadi hasrat untuk membina sebuah masyarakat madani yang Muslim tercapai? Hingga hari ini, tidak ada data yang dijumpai oleh penulis berkaitan persoalan berkenaan. (jika ada, maklumkan pada penulis yer)

Penulis merasakan, metodologi kaunseling perlu diubah di sekolah pada hari ini. Terlalu banyak teori-teori barat yang telah dihasil dan diaplikasikan tetapi masih lagi belum mampu menangani masalah social pelajar dan masyarakat. Mungkin sudah tiba masanya untuk beralih angin untuk mengaplikasikan sepenuhnya teori-teori dari cendikiawan dan tokoh-tokoh ilmuwanIslam.

Masih adakah lagi jalan alternatif yang mampu menggantikan peranan ini?

“Jika angin tidak bertiup, masakan pokok boleh bergoyang?”

Posted in Pandangan Umum | 4 Comments